Berjaya Jana Hasil 9 Angka Hanya Dalam Masa 3 Tahun, Ini 2 Iron Lady Di Sebalik Kebangkitan Chatime

Sejak mula diperkenalkan sekitar 2010, jenama Chatime yang berasal dari Taiwan cukup pantas memenangi hati rakyat Malaysia. Hanya dalam masa 2 tahun, Chatime sudah pun kukuh dalam pasaran F&B dengan adanya 90 cawangan di serata Malaysia.

Menurut perkongsian Tuan Faridzul Asyraf, Chatime diuji pada tahun 2017 apabila master franchisenya membuat keputusan drastik dengan menukar jenama dengan nama lain iaitu Tealive.

Akibatnya, hampir 95% daripada cawangan sedia ada terpaksa ditukarkan kepada Tealive. Dengan warna logo, tema serta menu yang hampir serupa, peminat bubble tea pada mulanya mengalami kesukaran untuk membezakan antara keduanya.

Namun, ia memberikan kesan yang lebih buruk kepada pelaburan langsung asing (FDI) negara kerana insiden ini dilihat seolah-olah membenarkan budaya meniru dalam perniagaan.

Sejak berdiri sendiri, tak dinafikan Tealive lebih pesat membangun. Kini, jenama Tealive sudah memiliki lebih 700 cawangan di pelbagai negara termasuk UK, Australia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Filipina. Baru-baru ini, jenama ini juga telah memperkenalkan konsep kedai yang lebih premium iaitu Tealive Plus.

Kebangkitan Chatime Untuk Kekal Dalam Industri

Di sebalik kejayaan Tealive, Chatime masih belum menyerah kalah dalam industri ini. Soal kapasiti duit bukanlah masalah bagi Chatime kerana ia merupakan salah satu syarikat tersenarai awam (public listed company).

Dengan kelebihan ini, mereka bina semula jenama sejak 2017. Hasilnya, kini Chatime sudah pun memiliki lebih 100 cawangan dengan hasil (revenue) melebihi 100 juta!

Walaupun nampak seakan kalah dari segi bilangan cawangan, namun Tealive juga ada dugaannya tersendiri. Tahun 2018 merupakan antara waktu paling sukar bagi Tealive sehingga pernah diarahkan untuk tutup operasi serta merta.

Bukan mudah untuk menangi semula tempat dalam pasaran bubble tea di Malaysia. Tanpa 2 Iron Lady yang menjadi tulang belakang Chatime, barangkali jenama ini boleh terkubur akibat persaingan yang cukup sengit.

Iron Lady di Sebalik Kebangkitan Chatime

Mungkin ramai yang belum tahu sebenarnya Chatime diterajui oleh dua wanita hebat iaitu Aliza Ali sebagai Pengarah Urusan (Group Managing Director) dan Widayu Latiff sebagai Pengarah Eksekutif.

Dengan kejayaan yang ditempa oleh Chatime, anda pasti tak sangka yang kedua-dua wanita ini memegang latarbelakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan!

Merupakan salah seorang pengasas Chatime Malaysia dan pemenang anugerah perniagaan berprestij seperti Brandpreneur Women of the Year 2018, Aliza Ali nekad dalam meletakkan standard yang tinggi pada jenama Chatime ke dalam pasaran Malaysia.

Juga merupakan pengasas Chatime Malaysia, Widayu memainkan peranan sebagai mastermind untuk jenama ini agar dapat beroperasi dengan cemerlang dalam setiap aspek. Tanpa buah fikiran daripada wanita ini, Chatime mungkin tak akan sampai pada tahap ini!

Kewibawaan dua wanita ini terbukti dengan pencapaian hasil atau revenue mencecah 100 juta menjelang tahun 2021. Mungkin banyak syarikat yang pernah mencapainya, namun untuk capai dalam masa yang singkat memerlukan usaha yang luar biasa!

Ditambah pula dengan persaingan yang cukup sengit dalam industri ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.

Mungkin kita juga boleh belajar serba sedikit daripada kebangkitan Chatime untuk kekal sebagai jenama bubble tea pilihan rakyat Malaysia.

Tahniah diucapkan!

 

Source: Daily Makan

Search