KUALA LUMPUR: Will Group, pemegang francais utama Chatime di Malaysia, merancang membuka 70 outlet menjelang pertengahan tahun depan membabitkan perbelanjaan modal (capex) RM35 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan, Aliza Ali, berkata Chatime Malaysia akan membuka 32 outlet untuk fasa pertama sebelum akhir tahun ini dengan capex RM17 juta.
“Kita sudah membuka 16 outlet di Cyberjaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur serta tiga outlet di Perak setakat ini, manakala bakinya akan lengkap menjelang akhir tahun.
“Permintaan sangat menggalakkan, maka sekarang kita bercadang membuka satu outlet seminggu dengan lokasi seterusnya di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Minuman Chatime Perisa Baharu Siri Yakult di Outlet Chatime Pusat Beli-Belah Mid Valley di sini, hari ini.
Lima perisa baharu dilancarkan iaitu Yakult Fruitea, Yakult Mangga, Yakult Lemon, Yakult Strawberi dan Yakult Matcha.
Mengenai kerjasama itu, Aliza berkata, ia sejajar dengan inisiatif Chatime dan Yakult dalam menggalakkan budaya hidup sihat dengan mengamalkan minuman kesihatan.
“Chatime kini giat dalam proses pengembangan dan diharap peminat jenama teh ini akan terus menyokong kami.
“Walaupun ada persaingan hebat daripada jenama baharu, peminat kenal Chatime terlebih dahulu dan ia memberi kelebihan kepada kami untuk terus berkembang,” katanya.