Fazley hasil minuman untuk Chatime

KUALA LUMPUR: Cef selebriti dan penyanyi popular, Datuk Fazley Yaakob, 40, dilantik sebagai wajah kempen Ramadan jenama terkenal dan francais bubble tea antarabangsa, Chatime, pada sebuah majlis pelancaran yang diadakan di SukaSucre Bistro Khamis lalu.

Menampilkan tema Buka Puasa, Buka Rasa, Fazley menghasilkan dua jenis minuman edisi istimewa; Bandung Sago Pearl Milk Tea dan Cendol Sago Milk Tea sebagai memenuhi kepelbagaian permintaan pelanggan setia dan baharu Chatime terutama pada Ramadan ini.

Menurut Fazley, dia amat terharu dan bangga apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Chatime yang kebetulan adalah minuman kegemarannya dan keluarga sejak awal lagi.

“Apabila ditawarkan peluang kolaborasi ini, sudah pasti saya berasa teruja kerana selama ini sudah memasang angan-angan untuk menghasilkan resepi minuman istimewa jenama Chatime,” katanya ketika ditemui usai majlis tersebut.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Sdn Bhd, Aliza Ali dan Pengarah Eksekutif, Widayu Latiff.

Pada majlis itu, Fazley turut melakukan demonstrasi penyediaan dua minuman berasaskan sago sambil dibantu Aliza dan Widayu.

Mengenai pemilihan Fazley sempena kempen Ramadan ini, Aliza memberitahu pengalaman dan minat Fazley dalam mempelbagaikan resepi dalam bidang kulinari adalah sebab mereka memilihnya sebagai wajah kempen sempena Ramadan kali ini, bertepatan dengan jenama Chatime yang menitikberatkan kepelbagaian di dalam minuman yang dijual.

“Datuk Fazley bukan sahaja wajah kempen, malah menghasilkan resepi bagi minuman kolaborasi Ramadan ini telah diolah olehnya sendiri” kata Aliza

Bandung Sago Pearl Milk Tea (boleh ditambah dengan krim vanila) dan Cendol Sago Milk Tea dijual setiap satu dengan harga RM8.90.

Dua minuman istimewa ini boleh diperoleh di seluruh cawangan Chatime di Malaysia bermula seminggu sebelum Ramadan dan berakhir pada minggu awal Hari Raya Aidilfitri ini.

Chatime yang memasuki negara ini sejak tahun 2009 kini mempunyai hampir 40 cawangan di seluruh Malaysia.

Selain Malaysia, Chatime juga memiliki lebih 1,700 cawangan di 32 negara seperti London, Paris, Amerika Syarikat, Kanada, Dubai, Australia, Korea, China, India, Vietnam, Hong Kong, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Taiwan.

Untuk mengetahui informasi lanjut, layari platform laman sosial – Facebook, Twitter dan Instagram Chatime Malaysia.

Source: Berita Harian

Search